RESENSI BUKU

by - August 31, 2018

Image result for buku be a giver bahagia dengan memberi
Judul: BE A GIVER: Bahagia Dengan Memberi  
PenulisMufarwa Farid 
PenerbitNuBook Press Sdn. Bhd.  
Harga: RM25.00 
Halaman: 256 muka surat 
Tahun terbit: Mei 2016 
    


Buku yang mempunyai ketebalan sebanyak 2 cm dan berat 0.19 kg karya Mufarwa Farid atau nama sebenarnya adalah Muhammad Farid Wajdi Bin Hanif menceritakan tentang kisah perjalanan hidup beliau di usia meningkat dewasa dalam mencari identiti diri serta kepayahan dan jerit perih beliau bersama rakan-rakan dalam membina sebuah syarikat yang dapat menyumbang kepada masyarakat. Menerusi buku ini juga, beliau menyarankan kepada anak remaja agar menyumbang kepada masyarakat dan juga agama. Beliau juga menyentuh serba sedikit tentang isu keruntuhan akhlak remaja serta bagaimana untuk menjadi seorang pemberi yang ikhlas meskipun hanya sedikit sahaja sumbangan yang diberikan itu. Malah, sebagai seorang anak muda yang akan meningkat dewasa perlulah berfikir jauh ke hadapan agar dapat mempergunakan diri, harta serta kudrat sebaiknya untuk masyarakat, agama dan negara.  
Muhammad Farid Wajdi Bin Hanif atau lebih dikenali menerusi nama pena beliau sebagai Mufarwa Farid dilahirkan pada 5 Februari 1993 dan berasal dari Seremban, Negeri Sembilan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seremban dan Sekolah Rendah Islam Seremban dan seterusnya menyambung pelajaran ke sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said sehingga tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2010. Selepas mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat asasi di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Undang-undang, Petaling Jaya. Kemudian, beliau mengorak langkah menjadi salah seorang pelajar Ijazah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2013.  
Pada tahun 2011, sementara menunggu keputusan SPM diumumkan, beliau memgambil kesempatan bekerja sambilan menjadi tenaga pengajar di Sekolah Agama Tahfiz Integrasi Al-Irshad, Labu Batu 10, Seremban selama 5 bulan. Sepanjang berkhidmat di situ, beliau mengajar dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah. Kemudian pada penghujung tahun yang sama, beliau ditawarkan bekerja sambilan di sebuah syarikat motivasi, Tinta Strategi Sdn. Bhd. sebagai Eksekutif Pemasaran Syarikat. Seterusnya pada tahun 2012, beliau ditawarkan untuk menjadi Jurulatih Utama atau Fasilitator CSQ Training And Consultancy dan berkesempatan menaburkan khidmat beliau kepada lebih 5,000 orang peserta. Pada tahun yang sama, beliau membuka syarikat motivasi bersama beberapa orang rakannya dan kepunyaan mereka sendiri yang diberi nama Nova Q Services.  
Pembukaan syarikat Nova Q Services merupakan titik tolak beliau dalam melebarkan sayap dan berkecimpung dalam bidang motivasi. Syarikat ini diasaskan ketika beliau masih berumur 19 tahun dan masih menjadi seorang pelajar di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabnagsa Malaysia. Pada tahun 2013, beliau telah mengendalikan lebih daripada 50 buah program motivasi dan angka itu meningkat hingga ke angka 124 buah program pada tahun 2015 yang telah menyasarkan kepada pelbagai peringkat umur di setiap institusi di seluruh Malaysia. Keistimewaan beliau dalam memberi motivasi, seorang yang kelakar, berkarakter terbuka, mempunyai pengalaman yang luas tentang sikap dan psikologi remaja dan kanak-kanak telah menjadikan beliau seorang motivator yang berjaya dan dikenali oleh masyarakat. Pada tahun 2015, beliau mengembangkan bakat dalam bidang penulisan dan penerbitan buku. Pada tahun 2016, maka telah terbit buku hasil tulisan beliau yang ketiga dan diterbitkan oleh penerbit NuBook Press Sdb Bhd iaitBe A Giver: Bahagia Dengan Memberi.  
Penyusunan buku ini disusun secara sistematik dari segi isi kandungan yang teratur yang dapat memudahkan pembaca merujuk pembacaan mereka berdasarkan isi kandungan di mukasurat hadapan buku. Melalui isi kandungan yang tersusun juga dapat menarik minat pembaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut kisah yang terdapat di dalam suatu bab buku ini. Seterusnya, penggunaan warna pada kulit hadapan buku Be A Given ini yang lembut serta corak yang sesuai dapat menarik perhatian pembaca untuk membaca buku ini. Malah, pengunaan kertas untuk buku ini juga amat sesuai dengan individu yang tegar minatnya akan buku kerana kertas yang digunakan ibarat buku-buku lama. Bau yang dihasilkan oleh kertas ini juga amat diminati dan disukai oleh peminat buku. Malahan penggunaan kertas ini menjimatkan dan membantu menjaga alam semula jadi kerana kertas ini adalah kertas yang telah dikitar semula dari kertas-kertas yang tidak digunakan. Sesungguhnya, buku ini bukan hanya membawa faedah kepada pembaca, malah menjadi satu ‘teguran’ kepada pembaca untuk menjaga alam semula jadi kita.  

“Perjalanan manusia tanpa kegagalan adalah perjalanan yang amat membosankan” merupakan petikan kata-kata daripada buku karya Mufarwa Farid. Buku yang mengandungi 256 muka surat ini mempunyai pelbagai kata-kata yang menarik serta membuatkan kita berfikir sejenak tentang maksud yang ingin disampaikan. Berdasarkan kata-kata yang telah dinyatakan di atas, saya berpendapat bahawa perjalanan manusia menyusuri kisah hidup yang telah ditakdirkan oleh Ilahi memang penuh dengan segala dugaan dan cubaan yang membentuk jati diri kita sendiri. Malah terdapat kata-kata yang berbunyi “hanya mayat sahaja tidak menghargai perjalanan hidupnya” dan “banyak nikmat yang kita lupa, kemudian kita menyalahkan tuhan apabila dia mengambil salah satu daripadanya. Kau nyanyuk atau bodoh?” Melalui dua petikan kata-kata ini kita dapat kaitkan dengan petikan kata-kata di atas bahawa manusia yang mendustakan nikmat yang telah dikurniakan oleh Ilahi serta tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari setiap dugaan yang ditempuh adalah manusia yang hidup dalam keadaan sia-sia. Sesungguhnya, setiap kata-kata yang dinukilkan oleh penulis membawa maksud yang mendalam serta kita dapat mengenal kembali diri kita sendiri. 
Seterusnya, terdapat pelbagai kelebihan yang dapat saya peroleh daripada buku ini. Antaranya ialah mengenai nilai ilmu yang terlalu mahal. Menerusi buku ini, penulis menceritakan tentang kisah seorang motivator yang meletakkan harga yang terlalu mahal bagi setiap ceramah yang mereka kendalikan. Malah motivator tersebut juga tidak memberikan bayaran yang sepatutnya kepada setiap fasilitator yang menjayakan program yang telah dpertanggungjawabkan kepada syarikatnya padahal mereka telah bertungkus lumus dan menjalankan tugasan mereka sebaiknya sepanjang program tersebut. Penulis membidas motivator tersebut dengan menyatakan bahawa “kamu membunuh anak bangsa kamu dengan harga yang mahal”. Menurut penulis, dia tidak mahu harga yang diletakkan oleh syarikat motivasi menjadi penghalang bagi anak-anak bangsanya mendapatkan motivasi dan khidmat yang diperlukan mereka. Baginya, ilmu itu adalah milik Allah, masakan manusia yang hanya bergelar hamba mampu meletakkan nilai kepada ilmu yang sememangnya bukan milik mereka dan hanyalah pinjaman sementara kepada manusia.  
        Selain itu, penulis juga mencatatkan tentang sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang dapat membantu beliau terus teguh dalam bidang yang diceburi. Menurut beliau, keluarga adalah individu yang sentiasa berada di belakangnya dalam setiap langkah di dalam kerjaya menjadi seorang motivator. Mak dan abahnya sentiasa memberi pilihan kepada beliau untuk menentukan masa depannya dan tidak memaksa beliau mengikut kehendak kedua orang tuanya serta menyokong penuh setiap keputusan yang telah diputuskan olehnya. Rakan-rakan terdekat juga menjadi pendorong dalam bidang ini. Di saat beliau ingin berputus asa, rakan-rakannya akan meniupkan kata-kata semangat dan membuatnya berfikir akan setiap langkah yang telah dilalui olehnya sehingga beliau menjadi seorang motivator yang berjaya. Seterusnya, kelebihan yang paling utama dalam buku ini adalah nasihat menjadi seorang anak muda yang ‘berbisa’. Penulis menyampaikan bahawa sebagai seorang anak muda yang masih mempunyai kudrat dan tenaga yang maksimum perlulah berkhidmat kepada masyarakat sebaiknya. Hal ini kerana anak muda yang menyumbang kepada masyarakat sama ada dari segi harta atau berkongsi ilmu adalah anak muda yang terbaik dan yang paling bahagia. Individu yang membantu masyarakatnya untuk berubah menjadi masyarakat yang lebih baik akan memperoleh kebahagian yang maksimum kerana mereka sedar akan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada manusia dan menyahut seruan Allah dalam surah Al-Imran ayat 104 yang bermaksud “Dan hendaklah ada di antara kalian segolong umat yang menyeru pada kebaikan, menyeru kepada yang maaruf, dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung”. 
Walaubagaimanapun terdapat kelemahan dari buku ini antaranya ialah penggunaan laras bahasa yang terlalu mudah dan ringkas. Meskipun mudah untuk difahami oleh pembaca, namun berdasarkan ‘reviews’ daripada beberapa orang pembaca yang lain termasuklah diri saya sendiri, penulis menggunakan laras bahasa seperti menulis diari. Hal ini mengakibatkan pembaca menjadi cepat bosan serta tidak dapat menghayati dengan sepenuhnya isi yang ingin disampaikan oleh penulis. Selain itu, fizikal buku ini yang kurang menyediakan gambar rajah yang menarik serta berwarna yang dapat menarik minat pembaca. Meskipun terdapat beberapa gambar rajah di dalam buku ini, gambar rajah tersebut hanya berwarna hitam putih dan terlalu artistik sehingga tidak dapat difahami maksud yang ingin disampaikan penulis di sebalik gambar rajah yang dilampirkan.  
Namun begitu, daripada proses penghayatan yang saya aplikasikan semasa membaca dan mengulas buku ini, aspek pengisian dan maksud yang ingin disampaikan oleh penulis amat sempurna dan mengagumkan pembaca. Jelaslah, buku ini amat sesuai untuk dibaca oleh setiap peringkat umur terutamanya pembaca yang sedang meningkat dewasa dan anak muda belasan tahun. Setiap pengisian yang terdapat di dalam buku ini sangat sesuai untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian disebabkan sebagai manusia kita seringkali terlupa untuk menoleh sejenak dengan manusia yang terdapat di sekeliling kita. Kadangkala manusia yang terdekat di sekeliling kita adalah antara individu yang banyak memberi kesan positif dalam kehidupan kita tanpa kita sedari. Oleh itu, saya menyarankan untuk membaca buku ini sebagai satu langkah yang realistik dan postif dalam membaiki sifat dan peribadi diri kita sendiri dalam menuju kehidupan yang lebik baik bersama dengan masyarakat.  

You May Also Like

0 comments